Misteri: Pulau seribu meriam


Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my




Tiada siapa dapat mengira jumlah yang tepat meriam yang ada di Bukit Cenning

BUKIT Cenning di Pulau Daik Lingga, Indonesia adalah sebahagian daripada benteng pertahanan utama menentang Belanda dan Sultan Abdul Rahman adalah raja terakhir Johor Riau Lingga sebelum melarikan diri ke Singapura.

Benteng pertahanan berukuran 32 meter x 30 meter itu terletak di Kampung Seranggung dan dibangunkan ketika pemerintahan Sultan Mahmud Syah III (1761-1812).


Sepanjang perjalanan ke Kampung Serangga baru-baru ini, saya tertanya-tanya berapa jumlah sebenar meriam yang masih ada di situ. Saya ditemani penjaga muzium Pulau Daik Lingga, Sulaiman Atan, tetapi lelaki warga emas itu penuh berteka teki, katanya tengoklah sendiri apabila sampai ke sana.

Tiba di puncak bukit menghadap ke laut, kelihatan satu kawasan berpagar yang mempunyai satu pintu masuk kecil. Di sebelahnya ada satu papan tanda mengenai sejarah ringkas kawasan berkenaan bagi tujuan memberi maklumat kepada pengunjung.

Penulis bertanya lagi kepada Sulaiman yang membahasakan dirinya sebagai Pak Long, berapa jumlah sebenar meriam di kubu berkenaan.

PAK LONG (kiri) menerangkan sejarah meriam Bukit Cenning kepada penulis.

“Kamu tengoklah sendiri dan kira berapa jumlahnya. Nanti bila sudah keluar kita bincang berapa yang kamu nampak. Kalau kamu ada rezeki lebih, kami dapat lebih,” katanya membuatkan saya semakin teruja untuk masuk ke kawasan kubu.

Sebelum menjejakkan kami, Pak Long meminta kami menghadiahkan bacaan al-Quran surah al-Fatihah serta selawat kepada Rasulullah sebanyak tiga kali dan memulakan langkah melepasi pagar menggunakan kaki kanan.

Katanya, semua itu untuk disedekahkan kepada pejuang Islam yang sudah terkorban dalam peperangan ketika mempertahankan tanah air menentang penjajah.

Langkah dimulakan, penulis dan jurugambar memilih jalan berbeza. Penulis ke penjuru kanan di sebalik susunan meriam lama yang diletakkan di atas pelapik simen dan rakan setugas, Salim Shaari ke kiri dengan memanjat tebing tanah untuk mendapatkan sudut terbaik merakam gambar.

LUBANG pencucuh api meriam yang ditampal Belanda.

Dengan perasaan berdebar, penulis memulakan kiraan jumlah meriam di situ. Pak Long dan seorang lagi pembantunya cuma memerhatikan dari jauh. Kiraan dimulakan, dari kanan ke kiri, jumlahnya 19, dari kiri ke kanan, jumlahnya masih 19.

Dicuba lagi dari tengah menghadap bahagian depan muncung meriam, jumlahnya masih sama, 19 meriam lama. Terdetik di dalam hati, mungkin inilah jumlahnya kerana sudah dikira sebanyak tiga kali tetapi masih sama.

Lain pula ceritanya dengan rakan penulis. Kelihatan beliau sedang mencatat sesuatu di tapak tangan kirinya. Disambung tugas merakam gambar dari pelbagai sudut, sesekali berhenti mencatat sesuatu. Sepanjang tempoh itu kami tidak berbincang langsung berapa jumlahnya.

Sehinggalah selepas semuanya selesai, barulah Pak Long menghampiri kami menerangkan secara lengkap segala maklumat yang diketahuinya secara lisan dan ada juga yang tercatat dalam sejarah.

Banyak meriam di situ dirosakkan penjajah Belanda dengan menutup lubang pencucuh api menggunakan paku.

Meriam paling panjang berukuran 280 sentimeter (cm) dengan garis pusat 12 sentimeter yang digelar Meriam Tupai Beradu kerana ada dua ukiran tupai besi di atasnya. Meriam utama itu diapit dengan meriam Mahkota Raja dan satu meriam putih yang terukir jelas catatan tarikh 1797 (24-3-21).

Semua meriam itu disusun atur pada kedudukan seperti huruf U dengan muncungnya dihalakan ke laut dan kedudukannya di atas puncak bukit memang strategik untuk menyerang kapal menghampiri pulau.

Sebaik saja kami melangkah keluar dari kawasan kubu itu, Pak Long terus bertanya kepada kami berapa jumlah meriam yang kami hitung.

Penulis katakan, semuanya 19 dengan dua daripadanya disusun menegak di kiri dan kanan manakala 15 lagi secara melintang, tetapi lain ceritanya dengan rakan setugas. Ditunjukkan catatan di tapak tangannya, tertera nombor 24, 23, 18, 19, 18, 18, 19.

“Cukuplah, dah banyak kali aku kira. Semuanya berbeza, dikira secara mata kasar lain, bila dikira dalam kamera, jumlahnya berubah-ubah,” katanya. Hakikatnya gambar di dalam kamera digital boleh dibesarkan dan berada dalam keadaan tetap tetapi jumlahnya sentiasa berubah setiap kali dikira.

Jawapan itu membuatkan Pak Long tersenyum kerana katanya itu bukan pertama kali beliau mendengar penjelasan pengunjung mengenai jumlah meriam yang dikira sering berubah.

“Itu rezeki kamu, kamu dapatlah lebih. Sebab itulah pulau ini digelar pulau seribu meriam,” katanya mengatur langkah menuruni bukit membuatkan kami terpinga-pinga.

Previous
Next Post »