Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my
Ketinggian buluh meneduhkan ruang laman. |
Buluh atau bambusa sesuai sebagai pohon pagaran selain kalis bunyi
MENANAM buluh untuk dijadikan pokok pagaran adalah pilihan terbaik untuk kediaman berbanding membina pagar menggunakan batang buluh.
Ini kerana pokok buluh seperti tumbuhan yang lain mampu menyerap karbon dioksida, malah ada yang berpendapat pokok ini menyerap gas berkenaan lebih banyak daripada tumbuhan lain.
Selain penuh nilai estetika, penanaman pohon buluh sebagai pagaran dilihat lebih berbaloi kerana ia mempunyai dwifungsi kepada laman dan kediaman iaitu mencantikkan dan menghidupkan suasana.
Malah, buluh menjadi salah satu tanaman paling mudah untuk tumbuh dan dijadikan pagar ‘hidup’ untuk laman kerana cirinya yang cepat hidup dan meninggi.
Sesuai sifatnya yang boleh membesar sehingga 2.43 meter atau lapan kaki, buluh juga menjadi pagar kalis bunyi dan menghalang pemandangan luar yang memberi hak bersendirian kepada pemilik kediaman. Buluh juga penghalang angin dan bunyi desiran angin di celah pohon buluh mendamaikan membangkitkan lagi nilai estetika laman.
Buluh menjadi pilihan bagi membahagikan sempadan. |
Ada dua jenis buluh yang utama sesuai untuk dijadikan pokok pagaran. Jenis pertama disebut buluh menjalar dan rizom, atau akar tanaman ini, menjalar beberapa inci di bawah tanah secara horizontal (mendatar). Biasanya ketika mula membesar ia akan menjalar di kawasan sekitarnya dan lebih mudah membesar dan menjadi pagaran.
Jenis kedua pula dikenali sebagai rumpun. Buluh jenis ini tumbuh serumpun kerana ubi akarnya lebih bulat dan tidak menjalar. Biasanya jenis ini sukar membiak dengan cepat kerana tumbuh berdasarkan ubi akarnya.
Namun, buluh jenis ini lebih mudah untuk diuruskan tumbesarannya dan lebih sukakan cahaya matahari yang dapat menggalakkan pertumbuhannya.
Pertumbuhan buluh jenis ini lebih perlahan iaitu hanya meningkat dua hingga tiga kali saiz asalnya setahun dan menyebabkan jangka waktu lebih lama diambil sebelum dapat dijadikan pagar kediaman.
Buluh cantik ditanam di sudut laman. |
Biasanya, pokok buluh banyak dijadikan pokok pilihan bagi laman berkonsep tropika dan Zen atau China. Selain menjadi pokok pagaran, buluh dijadikan hiasan untuk membahagikan sempadan serta penghias kawasan tepi tembok dan sudut kediaman.
Terkini, seni hiasan laman menampilkan ciri tradisional dengan sentuhan kontemporari dan buluh sering menjadi pilihan pereka laman kerana ia hiasan yang tidak `lapuk' dan boleh disesuaikan untuk apa konsep pun termasuk moden.
Info
Persediaan menanam buluh sebagai pagar
Fakta