Taman tema adaptasi Hollywood

Oleh Bennie Zie Fauzi (bennie@bharian.com.my)


Ilustrasi grafik Universal Studios Singapura.

Genting Group labur RM16b bangunkan Universal Studios pertama di Asia Tenggara

PRIMADONA jelita Marilyn Monroe, legenda komedi Charlie Chaplin, gergasi hijau berjiwa lembut, Shrek, Alex singa Madagascar dan tentera mumia yang menggerunkan dalam filem pecah panggung, Revenge of The Mummy bakal menggamatkan Singapura menerusi pembukaan cawangan Universal Studios pertama di Asia Tenggara sekali gus terbesar di dunia.

Taman tema mengambil inspirasi perfileman Hollywood itu disenaraikan sebagai daya tarikan utama projek mega RM16 bilion (S$6.59 bilion) Resorts World Sentosa (RWS) yang dibangunkan Genting Group (GG).

Selain Universal Studios Singapore (USS) yang menawarkan tujuh zon menarik untuk diterokai seperti Hollywood, New York, Sci-Fi City, Ancient Egypt, The Lost World, Far Far Away dan Madagascar, RWS berkeluasan 49 hektar menjanjikan ‘syurga dunia’ menerusi Marine Life Park, penempatan hidupan marin terbesar di dunia, muzium maritim meminjam pengalaman penjelajahan laut pada 1,100 tahun lampau, enam hotel bertaraf dunia, menghayati ilham seni bina arkitek tersohor Amerika, Micheal Graves, selain persembahan hiburan mengasyikkan.

Ketua Pegawai Eksekutif RWS, Tan Hee Teck menyifatkan USS bakal menerima sambutan hangat menerusi jangkaan 4.5 juta pengunjung menjelang awal pembukaannya awal tahun depan.

“Masyarakat Asia gemar menonton filem dan taman tema ini hadir tepat pada waktunya. Saya percaya ia akan menjadi destinasi tumpuan pelancong, lebih-lebih lagi disediakan permainan roller coaster, pertunjukan dan taman tema yang tidak ada di mana-mana Universal Studios sebelumnya seperti Hollywood, California; Orlando, Florida dan Osaka, Jepun,” katanya menjelaskan 18 tarikan baru yang diilhamkan khusus untuk USS di Singapura, baru-baru ini.



Penerbit Eksekutifnya, Steve Ryan, berkata tunjang kekuatan studio perfileman ini mungkin pada dua zon yang diadaptasi menerusi filem animasi Shrek dan Madagascar.

“Far Far Away dibina berasaskan filem animasi Shrek. Melangkah ke zon ini, pengunjung seolah-olah dibawa ke dunia gergasi berkenaan baik dari segi latar suasana, seni bina istana, paya tempat tinggal ogre itu mahupun watak-watak yang wujud dalam filem animasi itu seperti Puteri Fiona, Donkey dan pelbagai watak lain.

“Madagascar pula mempelawa pengunjung menghayati dunia haiwan Alex, Marty, Gloria dan Melman dengan olahan lokasi seiras zoo di New York, ditambah replika kapal sebesar bangunan dua tingkat sebagai tarikan utama,” katanya.

Selain itu, kelebihan USS berbanding Universal Studios lain ialah pembinaan bandar masa depan, Sci-Fi City yang antaranya dilengkapi roller coaster tertinggi dan terpantas di dunia.

ANTARA tarikan yang menjanjikan keseronokan gaya hidup di USS.

“Roller coaster berkembar diadaptasi daripada filem Battlestar Galactica itu setiap satunya mempunyai 32 tempat duduk. Bertemakan pertarungan manusia dengan robot, ia memerlukan 90 saat untuk melengkapkan satu pusingan berjarak 9.7 kilometer. Roller coaster ini mungkin diisytiharkan yang tertinggi di dunia berdasarkan ketinggian puncaknya berukuran kira-kira 42.5 meter,” katanya.

Sebagai persediaan menyambut kira-kira 13 juta pengunjung setahun, 1,800 bilik penginapan di enam hotel bertaraf dunia disediakan membabitkan Maxims Tower, Spa Villas, hotel Micheal, Hard Rock, Festive dan Equarius.

Setiap hotel diberi tema berbeza khusus memenuhi keperluan percutian, selain sesuai bagi mereka yang datang untuk urusan perniagaan.

Hotel Micheal satu-satunya penginapan di dunia yang dibina khusus memperingati genius arkitek serta pereka produk, Micheal Graves. Hotel berstatus butik ini bakal mengetengahkan sentuhan ajaib Graves bermula dari lantai hingga ke siling.

Hotel Hard Rock mengangkat falsafah rock and roll ke kelas lima bintang menerusi gaya penataan yang mengabadikan sikap, kenikmatan hidup dan fesyen popular zaman itu. Pilihan kelengkapan dan kemasan ranggi dengan adunan warna dramatik menggambarkan pengaruh serta budaya muzik itu masih diminati ramai biarpun sudah 40 tahun berlalu.

Sementara, bagi pencinta laut dan isinya, Marine Life Park dan Maritime Life Park menanti untuk diteroka. Mereka yang berani dan dahagakan cabaran berpeluang bersemuka dan memberi makan jerung ganas melalui sangkar khas yang disediakan.

Pengunjung juga berkesempatan menghayati kehidupan laut dalam melalui pelbagai rupa, warna dan spesies ikan termasuk jerung, pari, ikan lumba-lumba serta hidupan terumbu karang yang menghuni kolam laut dipercayai terbesar di dunia itu.

Selanjutnya, senario perdagangan membabitkan Asia, Asia Barat dan Eropah dipersembahkan melalui bukti artifak berharga dipercayai wujud ketika zaman Dinasti Tang dan Laksamana Cheng Ho, yang kini dipamerkan di Maritime Xperiental Museum. Pengunjung juga dikatakan bakal terpesona dengan rekaan seni bina arkitek Micheal Grave yang dititipkan di muzium ini.

Selain keseronokan dan hiburan sekeluarga, RWS bagi Pengerusi GG, Lim Kok Thay berupaya mengembangkan daya imaginasi.

Katanya, semua yang disajikan di sini baik hiburan, pendidikan mahupun bertujuan santai terbit daripada imaginasi dan kepakaran manusia. Justeru, beliau percaya, di sini imaginasi bukan saja mempunyai tempat tetapi hidup dan berkembang.

Previous
Next Post »