Musuh tinggal sekandang

Musuh tinggal sekandang
Oleh Hazirah Che Sab




Tiga haiwan 'ganas' yang tinggal sebumbung iaitu harimau Shere Khan, singa (Leo) dan beruang (Baloo).

Beruang, singa dan harimau ibarat satu keluarga bahagia

KEAKRABAN mereka memang tidak boleh diterima akal. Bukan hanya penampilan fizikal yang amat jauh berbeza antara satu sama lain, malah mereka adalah musuh tradisi sejak berzaman yang sama sekali tidak boleh bertentang mata. Saling bercakaran menentukan siapa sebenarnya pemilik takhta secara logik akal tidak membolehkan mereka beramah mesra.

Namun itulah yang disajikan oleh Baloo si beruang, Leo sang singa dan Shere Khan, sang belang - persahabatan kukuh luar biasa antara mamalia sama gagah itu.

Memandang mereka adalah musuh dan sanggup berbunuhan jika bertembung di dalam hutan, sesuatu yang cukup mengagumkan melihat persahabatan unik dan tulen itu.

Diselamatkan lapan tahun lalu dalam satu serbuan dadah di Atlanta, Georgia, ketiga-tiga rakan itu baru berusia dua bulan dan dibela sebagai simbol haiwan peliharaan oleh pengedar dadah.

Ketiga-tiga haiwan itu dihantar ke Pusat Penyelamat Haiwan Noah’s Ark di Locust Grove, Georgia, dan keputusan dibuat untuk menempatkan ketiga-tiga anak beruang, singa dan harimau itu bersama-sama kerana keakraban mereka.

“Kami boleh memisahkan mereka tetapi oleh kerana mereka datang sebagai satu keluarga, pihak zoo memutuskan untuk membiarkan mereka bersama-sama. Di sinilah satu-satunya tempat yang boleh anda saksikan gabungan haiwan seperti ini,” kata Penolong Pengarah Noah’s Ark, Diane Smith.

Selepas tinggal bersama-sama pengasas zoo itu sejak lapan tahun lalu, Shere Khan, Baloo dan Leo kini dipindahkan ke kawasan yang dibina menyamai habitat mereka bagi membolehkan warga Amerika Syarikat menyaksikan secara langsung persahabatan ketiga-tiganya yang memang menyentuh hati.

“Kami tidak mempunyai wang untuk memindahkan mereka pada awalnya. Kini habitat mereka sudah diasingkan dan mereka dipindahkan dari kawasan zoo kanak-kanak yang mengehadkan pandangan pelawat.

“Di sini mudah untuk menyaksikan Baloo seberat 453 kilogram, Shere Khan dengan berat 158 kilogram dan Leo juga seberat 158 kilogram bermesra seperti saudara. Mereka langsung tidak sedar dengan hakikat dalam keadaan lain, mereka tidak akan menjadi kawan,” kata Smith.

Dikendalikan oleh Charles dan Jama Hedgecoth, pemilik dan pengasas zoo berkenaan, ketiga-tiga rakan karib bersaiz gergasi itu seolah-olah tidak memahami perbezaan antara mereka.

“Baloo dan Shere Khan amat rapat kerana bangun awal dan seperti tabiat singa lain, Leo menghabiskan kebanyakan masanya dengan tidur. Menakjubkan dan ajaib melihat beruang hitam Amerika yang besar memeluk seekor harimau Benggala dan melihat ia menyodol Baloo seperti kucing jinak. Apabila Leo bangun, ketiga-tiga sahabat itu berkeliaran sepanjang hari sebelum berhenti makan,” katanya.

Memang memeranjatkan apabila melihat tiga haiwan pemangsa yang mempunyai kemampuan membunuh cuma dengan satu gigitan atau libasan kuat dengan kuku, cukup selesa berada dekat sesama sendiri.

“Mereka makan, tidur dan main bersama-sama. Mereka seolah-olah seperti bersaudara apabila saling tidur bertindan untuk memanaskan badan dan sekadar untuk bermesra. Buat masa ini mereka sudah biasa dengan habitat baru. Shere Khan agak terganggu dengan perpindahan itu tetapi kehadiran Baloo berkesan dalam memujuk dan membuatkan ia berasa lebih selesa dan selamat,” kata Jama.

Menjelaskan mengenai tiga ‘saudara’ itu memang berkongsi ikatan unik, Charles berkata: “Noah’s Ark adalah rumah mereka dan mereka tidak mungkin dipisahkan. Namun anda kena ingat dengan siapa anda berurusan apabila bersama mereka. Bila terlupa haiwan ini adalah haiwan liar yang membuatkan anda dalam masalah.”

Habitat baru ketiga-tiga sahabat unik itu dibina dengan berhati-hati dalam usaha memastikan keperluan penghuninya terjaga.

“Kandang perlu teguh kerana ketiga-tiganya tidur bersama dan kami perlu membina anak sungai kerana Shere Khan dan Baloo suka berendam,” kata Jama.

Ada baiknya kisah keakraban ketiga-tiga haiwan pemangsa yang saling menyembunyikan kuasa pembunuh demi persahabatan dan kasih sayang diambil sebagai pengajaran oleh manusia yang tidak berkesudahan ingin menimbulkan persengketaan.

Di manakah nilai sebenar seorang insan jika haiwan yang tidak dikurniakan akal bersama-sama kejadian mereka, boleh mengambil alih fungsi sebenar otak manusia sedangkan kita masih hanyut dengan ego dan kesombongan yang tidak membawa kebaikan?
Previous
Next Post »