Empat fasal kawal H1N1 di musim raya



Sep 14, 09 3:02pm

Kementerian Kesihatan menggariskan empat fasa yang perlu diambil kira semasa menyambut mana-mana perayaan, bagi mengelak
penularan wabak Influenza A(H1N1) dalam negara.

Menterinya Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai berkata ia merangkumi langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil dalam empat tempoh fasa iaitu semasa sebelum balik kampung, semasa dalam perjalanan, semasa berada di kampung dan selepas kembali dari kampung.

Beliau berkata orang ramai tidak perlu panik atau terlalu bimbang sehingga tidak tahu apa yang hendak dilakukan bagi mengelak jangkitan virus itu ketika hendak menyambut sesuatu perayaan.

"Jika semua pihak dapat mengambil langkah-langkah pencegahan, maka wabak ini dapat dikawal dengan lebih baik," katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen Berhari Raya Tanpa H1N1 di terminal bas Jalan Duta di Kuala Lumpur hari ini.

Sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri ini, Liow sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya terus mengamalkan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan wabak H1N1 ini menular.

Liow seterusnya meminta orang ramai sentiasa melayari laman web Kementerian Kesihatan untuk mengetahui perkembangan terkini mengenai wabak H1N1 serta langkah kawalan dan pencegahan yang disyorkan dari semasa ke semasa.

"Walaupun di Hari Raya, senang-senang layarilah laman web kementerian, tengok apa cadangan dan syor yang ada, dan ikutlah syor-syor kementerian. Saya harap semua akan ikut nasihat yang diberikan kementerian," katanya.

Mengenai situasi semasa wabak H1N1 dalam negara pula Liow berkata, tiada kematian baru direkodkan hari ini dengan bilangan kematian kekal 74 kes, sementara 48 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan di seluruh negara, dan 126 pesakit lagi sudah dibenarkan keluar wad.

Ini menjadikan baki 970 pesakit masih dirawat di 102 hospital termasuk 13 hospital swasta.

Beliau berkata daripada jumlah itu 193 pesakit disahkan positif dijangkiti H1N1, dengan 41 daripada pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada jumlah itu 33 pesakit terdiri daripada golongan berisiko tinggi dengan 13 pesakit berpenyakit kronik, empat penyakit respiratori kronik, lapan obesiti dan kanak-kanak bawah lima tahun (tujuh) dan seorang wanita hamil.

"Saya nak ingatkan 80 peratus 'high risk group' ini agar berhati-hati. Tapi saya juga nak ingatkan ada lagi 20 peratus yang bukan dari golongan berkenaan (berisiko tinggi) iaitu orang biasa yang juga terdedah dengan H1N1 ini.

"Saya risau yang 20 peratus ini, bagaimana anak-anak muda yang sihat kena wabak ini hingga menyebabkan maut. Kita tidak mahu perkara ini berlaku," katanya.

Dalam pada itu walaupun pada musim perayaan, orang ramai diingatkan supaya tidak memandang ringan tahap kesihatan mereka khususnya kepada yang menunjukkan simptom-simptom dijangkiti wabak H1N1.

"Jangan pandang ringan jika terasa sakit, dan jangan hanya bertahan tidak berbuat apa-apa. Jika sakit cepat jumpa doktor untuk dapatkan rawatan. Jangan hanya kerana Hari Raya, ramai ambil mudah," kata Liow. BERNAMA
Previous
Next Post »