Judul: Membongkar Misteri Dajjal
Penulis: Muhammad Nurani Maarif
Penerbit: Hijjaz Records Publishing
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM37.90 (Semenanjung) RM39.90 (Sabah/Sarawak)
KISAH biasa didengar mengenai Dajjal ialah makhluk bertubuh besar, bermata satu, sebelah tangannya membawa air dan sebelah lagi membawa api. Sejauh mana kebenarannya, hanya Allah Maha Mengetahui.
Buku Membongkar Misteri Dajjal adalah percubaan penulis untuk menjelaskan kekaburan mengenai dajal serta permasalahan berkaitan dengannya.
Umat Islam hendaklah maklum fitnah dajal adalah satu hakikat yang perlu diterima sebagai fitnah terbesar menjelang kedatangan Hari Kiamat.
Pengakuan Nabi Muhammad SAW yang terkandung dalam bab satu Memahami Hakikat Dajjal adalah perjalanan pertama pembaca untuk memahami kisah serta mengenali diri dajal sebenar kerana tidak dinafikan fitnah dajal dipandang sepi kini.
Bab itu turut membincangkan sudut pandang dan pengetahuan mengenai dajal, kewujudannya dalam konteks logik dan rasional serta perbezaan pendapat berlaku ketika mentakwilkan hadis mengenai dajal.
Pengembaraan pembaca mengenai dajal diteruskan melalui perbahasan mengenai penemuan tamadun purba yang tidak dapat disangkal ada antaranya sukar untuk diterima akal, tetapi menghasilkan teori menarik untuk diketengahkan.
Buku Membongkar Misteri Dajjal turut mengupas bagaimana dajal merancang konspirasi kemunculannya dalam mencetus perang Dunia Ketiga dan huru-hara dengan menggerakkan proksinya terdiri daripada gerakan Freemason, Illuminati dan Secret Society.
Pada akhir buku, penulis menggariskan persediaan asas bagi menghadapi fitnah dahsyat yang disebutkan Nabi SAW, umat Islam perlu mengetahuinya, tidak harus tertipu, malah mesti bersedia meningkatkan amalan serta memperkukuhkan iman.
Sebagai bahan ilmiah Islamik, buku ini boleh menjadi pencetus kepada pemikiran yang akan membuka minda pembaca khasnya umat Islam untuk memikirkan kebesaran Allah di sebalik hakikat sifat manusia yang tidak mampu menyingkap tabir rahsia Allah dengan sempurna.