Strategi Bendung H1N1: Elakkan Bersosial



10 Ogos, 2009 23:02 PM

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Penularan Influenza A (H1N1) banyak bergantung kepada berapa pantas kita menutup sekolah, pusat jagaan harian dan tempat tumpuan awam - dan sama ada individu bersedia untuk tidak bersosial dengan jiran mereka.

Malaysia telah merekodkan 1,983 kes, tetapi kadar kematian yang dicatatkan setakat ini amat membimbangkan iaitu 32 kes.

Beberapa pakar kesihatan dunia mencadangkan strategi "elakkan bersosial" mungkin jawapan yang dapat membendung penyebaran penyakit berbahaya ini kepada sekurang-kurangnya separuh.

Bagaimanapun, mereka percaya langkah yang lebih menyeluruh melibatkan seluruh masyarakat adalah perlu jika jangkitan kluster terpencil menjadi penularan besar-besaran, di mana penularan dari individu kepada individu dalam komuniti semakin memudaratkan.

Dalam senario sebegitu, pegawai kesihatan akan diarah menguatkuasakan pelan sukarela bagi memastikan orang tidak pergi bekerja, pelajar tidak ke sekolah dan berada di rumah sehingga ancaman jangkitan dapat dibendung.

Semua ini sudahpun berlaku di negara ini di mana influenza A (H1N1) telah menular ke seluruh negara, menjejaskan masyarakat, tiada lagi berupa jangkitan kluster terpencil seperti sebelum ini.

Oleh yang demikian, mengelakkan bersosial merupakan langkah yang tidak dapat dielakkan tetapi masih terdapat banyak pertimbangan ketika pihak berkuasa kesihatan terus memantau keadaan selain daripada beberapa langkah tambahan yang telah dilaksanakan.

Bagaimanapun, persoalannya sekarang ialah sama ada langkah tambahan ini mencukupi untuk membendung jumlah kes kematian kerana penularannya telah sampai ke peringkat masyarakat yang melibatkan penyebaran dari individu ke individu.

Pihak berkuasa kini tidak menggalakkan majlis keramaian diadakan tetapi tidak mengeluarkan larangan berhubung perkara itu kerana berpendapat langkah sedemikian tidak perlu buat masa ini.

Terdapat bukti bahawa majlis keramaian akan menggalakkan penyebaran selesema, dan mengehadkan majlis seumpama itu boleh menjadi langkah pencegahan yang efektif bagi penularan H1N1.

Terdapat perbezaan besar antara mencadangkan pengehadan majlis keramaian dan penguatkuasaan syarat yang lebih spesifik dan seragam.

Dalam membuat keputusan untuk menutup tempat tumpuan awam, impaknya ke atas ekonomi, pendidikan, akses kepada makanan, air dan keperluan lain perlu diseimbangkan dengan keupayaan untuk melindungi orang ramai secara efektif melalui kaedah itu.

Semasa berlakunya pandemik pada 1957-1958, panel pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati penularan di beberapa negara adalah berpunca daripada majlis keramaian seperti persidangan dan festival.

Panel berkenaan mendapati di banyak negara, pandemik itu pada awalnya menular di dalam kem, unit tentera dan sekolah, dengan itu mencadangkan mengelakkan diri daripada tempat yang penuh sesak mungkin penting untuk mengurangkan insiden wabak itu memuncak.

Semasa gelombang pertama pandemik influenza di Asia pada 1957-1958, kadar serangan tertinggi adalah melibatkan kanak-kanak pada peringkat umur bersekolah. Ini disemarakkan lagi melalui sentuhan di tempat yang penuh sesak.

Menurut satu kajian yang diterbitkan, didapati semasa berlakunya wabak influenza, penutupan sekolah dikaitkan dengan penurunan ketara dalam kejadian penyakit pernafasan dan peningkatan pematuhan penjagaan kesihatan di kalangan kanak-kanak berumur 6-12 tahun.

Oleh kerana pandemik itu menyebabkan peningkatan kadar morbiditi dan mortaliti dalam semua peringkat umur dan dengan ketiadaan vaksin, konsultasi WHO mengenai keutamaan intervensi kesihatan awam sebelum dan semasa pandemik influenza merumuskan pihak berkuasa patut menimbangkan secara serius memperkenalkan langkah membabitkan semua penduduk untuk mengurangkan jumlah kes dan kematian.

Ini termasuk langkah mengurangkan percampuran di kalangan orang dewasa (di tempat kerja dan tidak menggalakkan majlis keramaian besar-besaran).

Langkah itu bertujuan memperlahankan penularan penyakit itu dalam beberapa bulan akan datang sehingga vaksin efektif terhadap jenis baru H1N1 telah dikeluarkan dan diedarkan.

WHO telah berkata paling awal vaksin itu dapat diperoleh ialah pada akhir tahun ini.

Ketika berlakunya pandemik selesema 1918, pengelakkan bersosial berhasil kerana berjaya mengurangkan jangkitan.

Bandaraya yang telah menutup sekolah, gereja dan teater pada awal bulan berlakunya wabak maut itu telah mencatatkan kadar kematian 50 peratus lebih rendah daripada bandaraya yang melaksanakan langkah seumpama itu agak lewat atau tidak langsung, menurut laporan 2007 yang diketuai Marc Lipsitch, profesor epidemiologi di Fakulti Kesihatan Awam Harvard.

Dalam menghadapi wabak H1N1, pegawai kerajaan di Mexico, contohnya, kini malahan telah menutup muzium, sekolah, membatalkan acara sukan dan menasihatkan gereja agar tidak mengadakan upacara sembahyang untuk beberapa hari dan menggesa orang ramai untuk mengelakkan majlis keramaian dan ciuman di pipi.

Langkah itu telah dapat mengurangkan jangkitan dan membendung wabak itu, di mana virus itu pertama kali dikesan pada April, menurut satu laporan.

Setakat ini, pihak berkuasa kesihatan Malaysia tidak menguatkuasakan langkah pengelakkan bersosial bagi membendung penyakit itu.

Tetapi ini mungkin akan berubah secara drastik ketika negara kini berdepan dengan realiti peningkatan kes kematian sejak beberapa hari lepas dan angka itu terus meningkat dari hari ke hari.

-- BERNAMA
Previous
Next Post »