H1N1: Lebih Ramai Pakai Topeng Di Tempat Awam



13 Ogos, 2009 19:44 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Dengan angka kematian mencecah 51 orang setakat ini akibat Influenza A(H1N1) dan kempen berterusan kerajaan bagi membendung penularan jangkitan penyakit itu, lebih ramai orang kini memakai topeng mulut dan hidung di tempat awam di sekitar ibu kota.

Tinjauan Bernama mendapati beberapa pekerja kedai makan dan pasaraya turut menggunakan topeng berkenaan bagi melindungi diri daripada terkena jangkitan.

Pengurus Restoran Bismillah Farid Mohamad berkata beliau menggunakan topeng mulut kerana terpaksa berdepan dengan orang ramai.

"Kita mana tahu siapa pelanggan yang datang sama ada demam atau tidak. Oleh kerana itu, saya turut menggalakkan semua pekerja untuk memakai topeng mulut dan hidung semasa berdepan dengan pelanggan," katanya.

Farid berkata para pelanggan restoran itu menyambut baik tindakan pekerja restoran mengambil langkah pencegahan dengan memakai topeng mulut dan hidung.

Seorang pekerja restoran Abdul Kudus Muhamad berkata beliau memakai topeng mulut dan hidung selepas mengetahui bahaya H1N1 menerusi televisyen biarpun perlu menebar roti canai.

"Pada mulanya memanglah saya rasa tidak selesa apabila perlu memakai topeng ini tetapi sekarang sudah biasa. Yang penting saya rasa selamat," katanya.

Masalahnya sekarang ialah, kata beliau sukar untuk mendapatkan topeng hidung dan mulut di farmasi kerana kebanyakannya sudah kehabisan stok.

Seorang pegawai pemasaran Erma Hassan, 30, yang ditemui berkata beliau masih tidak memakai topeng kerana melihat masih ramai yang tidak memakainya.

Bagaimanapun beliau yang mempunyai seorang bayi perempuan berusia enam bulan tetap mengambil langkah berjaga-jaga seperti tidak membawa keluar anaknya ke tempat awam jika tidak ada keperluan.

"Tetapi suami saya memakai topeng selepas pejabatnya membekalkan pekerja dengan topeng ini setiap hari.

"Saya berharap kerajaan dapat memberikan secara percuma kepada orang ramai dalam menggalakkan pemakaian topeng mulut dan hidung terutama di tempat awam," katanya.

Farahdila Omar, 28 yang kini sedang mengandung enam bulan berkata beliau mengetahui tentang dirinya yang dikategorikan sebagai golongan berisiko tinggi dijangkiti H1N1.

"Saya baru bercadang nak beli tetapi tidak tahu nak beli di mana. Sekarang ini saya hanya mengambil langkah pencegahan dengan lebih menitikberatkan kebersihan seperti mencuci tangan dan tidak lagi sering keluar rumah seperti dahulu," katanya.

Kementerian Kesihatan antara lain menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mencuci tangan selepas batuk dan bersin, menutup mulut ketika bersin dan batuk serta menjauhkan diri daripada individu yang mempunyai gejala jangkitan seperti influenza (ILI).

Orang ramai juga dinasihatkan mengelakkan diri daripada berada di kawasan yang sesak dengan orang ramai serta ibu bapa dinasihatkan agar tidak membawa anakanak kecil ke tempat yang sesak.

Maklumat dan perkembangan semasa jangkitan H1N1 boleh diperolehi menerusi talian hotline yang beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang di talian 03-88810200 dan 03-88810300 serta laman web Kementerian Kesihatan http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my.

-- BERNAMA
Previous
Next Post »