Bekalan Antiviral Untuk H1N1 Mencukupi



24 Ogos, 2009 17:49 PM


KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Bekalan ubat antiviral untuk rawatan Influenza A (H1N1) adalah mencukupi bagi menampung keperluan pesakit di semua hospital dan klinik kerajaan mahupun swasta, kata, Naib Presiden Pertubuhan Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) Leonard Ariff Abdul Shatar.

Beliau berkata bekalan ubatan antiviral itu termasuk antiviral Tamiflu yang sering digunakan untuk merawat influenza itu juga mencukupi.

"Kami rasa tidak akan berlaku kekurangan, saya rasa bekalan pengeluar tempatan dan bekalan stok kerajaan adalah mencukupi untuk merawat pesakit di negara ini," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Terdapat tiga syarikat yang membekalkan antiviral Tamilflu bagi menampung keperluan pasaran tempatan iaitu Chemical Company of Malaysia Bhd (CCM), Royce Pharma Manufacturing Sdn Bhd dan Ranbaxy (M) Sdn Bhd.

Mengenai langkah yang diambil kerajaan untuk menangani penularan wabak itu, Leonard Ariff berkata beliau amat berpuas hati kerana kerajaan sudah bersedia lebih awal termasuk mengadakan stok bekalan antiviral sejak tiga tahun lepas.

Datuk Dr Rahman Ismail, Pengarah Urusan Alriz Sdn Bhd, sebuah syarikat pembekal ubat-ubatan, berkata menerusi Kempen Klinik Cegah dan Rawat H1N1 yang dilancarkan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai baru-baru ini, klinik dan hospital swasta yang berdaftar bagi program itu akan mendapat bekalan antiviral secepat mungkin untuk membolehkan rawatan segera diberikan kepada pesakit.

Kempen itu adalah usaha sama antara Alriz Sdn Bhd dan Ranbaxy Malaysia Sdn Bhd yang menawarkan harga antiviral oseltamivir tidak melebihi RM80 sekotak berbanding RM180 sekotak pada kebiasaannya.

Rahman berkata bagi kawasan Lembah Klang penghantaran bekalan boleh dilakukan dalam tempoh 24 jam manakala kawasan lain di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak, bekalan akan diperoleh dalam tempoh seminggu.

Setakat ini, sebanyak 147 klinik dan hospital swasta di seluruh negara telah berdaftar untuk program itu.

"Saya menganggarkan sepanjang minggu ini, sebanyak 1,000 klinik dan hospital swasta akan berdaftar di bawah Kempen Klinik Cegah dan Rawat H1N1 ini," katanya.

-- BERNAMA
Previous
Next Post »