PM umum kempen besar-besaran tangani H1N1



10 OGOS 2009


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melancarkan satu kempen besar-besaran minggu ini untuk menyedarkan orang ramai mengenai bahaya penyakit Influenza A (H1N1) berikutan wabak itu semakin serius, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan menyediakan ubat antiviral di hospital dan klinik awam di seluruh negara.

"Langkah yang paling berkesan ialah melalui proses mendidik orang ramai iaitu memberikan panduan kepada rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas melancarkan bangunan baru Institut Jantung Negara (IJN) di sini, hari ini.

Sehingga hari ini, 1,983 kes jangkitan H1N1 disahkan dengan 32 kes kematian.

Najib juga menasihatkan mereka yang mengalami demam supaya lebih berhati-hati dan mengelak daripada berkunjung ke tempat awam.

"Sekiranya demam, langkah paling baik ialah berehat di rumah sampai pulih, kerana kalau keluar, takut akan menjangkiti orang lain nanti.

"Kalau di rumah pun, mereka dinasihatkan supaya memakai topeng untuk elak daripada menjangkiti ahli keluarga," katanya.

Perdana Menteri berkata, stok antiviral akan ditambah daripada 10 peratus daripada jumlah penduduk kepada 20 peratus, dan ini akan membabitkan peruntukan tambahan RM20 juta.

"Kementerian Kesihatan melalui hospital dan klinik akan menyediakan antiviral secara lebih luas supaya lebih ramai rakyat boleh dapat suntikan untuk bantu mengelak dijangkiti virus yang lebih memudaratkan," katanya. - Bernama
Previous
Next Post »