Kematian H1N1 meningkat kepada 59



Ogos 15, 09 2:44pm

Jumlah kematian akibat Influenza A (H1N1) meningkatkan kepada 59 orang apabila Kementerian Kesihatan mengesahkan tiga orang lagi dilaporkan meninggal dunia kerana penyakit tersebut.

Sebanyak 209 kes baru turut dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes keseluruhannya meningkat kepada 3,574 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Mohd Ismail Merican berkata, tiga kematian tersebut mempunyai faktor risiko, iaitu obes, masalah jantung dan asthma.

Korban pertama ialah seorang lelaki berumur 22 tahun, obes, dimasukkan ke hospital pada 9 Ogos kerana simptom infuenza.

Palitan tekak diambil dan rawatan antiviral dimulakan keesokannya. Dia meninggal dunia pada 12 Ogos kerana viral pneumonia dan disahkan positif Influenza A(H1N1).

Seorang kedua pula ialah seorang lelaki berumur 29 tahun, mempunyai faktor risiko penyakit jantung dimasukkan ke hospital pada 10 Ogos kerana simptom influenza yang teruk selama dua hari.

Palitan tekak diambil dan antiviral diberi pada 10 Ogos. Dia bagaimanapun meninggal dunia pada 12 Ogos kerana bronchopneumonia yang teruk.

Dia disahkan positif Influenza A(H1N1) semalam (14 Ogos).

Korban ketiga pula ialah seorang wanita berumur 44 tahun dengan sejarah asma.

Dia dimasukan ke hospital pada 8 Ogos kerana simptom influenza selama lima hari.

Wanita itu diberi antiviral pada 9 Ogos dan disahkan positif influenza A(H1N1) pada 10 Ogos. Dia meninggal dunia pada 13 Ogos disebabkan oleh pneumonia.

Dr Ismail berkata, orang ramai yang mempunyai simptom influenza yang ringan masih mengunjungi tempat awam seperti pusat membeli-belah, pergi melancong, pergi ke tempat kerja atau sekolah serta masih lagi menaiki kenderaan awam.

Katanya, mereka juga tidak memakai topeng muka dan kebanyakan yang memakai topeng muka adalah mereka yang sihat.

"Amalan ini boleh meningkatkan penularan jangkitan virus influenza A(H1N1) melalui batuk atau bersin. Sepatutnya orang awam yang mempunyai simptom influenza yang ringan tidak melakukan amalan-amalan di atas.

"Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan memohon kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai simptom influenza untuk berada di rumah sehingga tiada simptom dan sihat dan tidak mengunjungi tempat awam, tidak menggunakan pengangkutan awam, menangguhkan rancangan untuk melancong ataupun tidak ke tempat kerja atau sekolah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Ismail berkata, daripada pemantauan terhadap pertanyaan orang ramai melalui talian terus dan emel, didapati persoalan masih berkisar kepada rawatan antiviral dan vaksin influenza A(H1N1).

"Kementerian Kesihatan ingin menjelaskan bahawa ubat antiviral hanya untuk tujuan rawatan dan bukan pencegahan. Ubat antiviral ini boleh didapati di hospital atau klinik kerajaan secara percuma.

Menurutnya, rawatan antiviral hanya diberikan kepada tiga kumpulan berikut tanpa perlu menjalani ujian pengesahan influenza A(H1N1):

-Individu yang mempunyai simptom sepeti influenza dan mempunyai faktor risiko.

-Individu yang mempunyai simptom ILI, tanpa mempunyai faktor risiko tetapi mempunyai demam yang tinggi (>38°C) berpanjangan (lebih daripada 2 hari).

-Individu yang telah menjalani ujian “rapid test” serta didapati positif, mereka akan diberikan rawatan antiviral jika mengalami simptom jangkitan menjadi teruk dalam masa 48 jam.

"Orang ramai perlu mengambil maklum bahawa vaksin khas untuk influenza A(H1N1) belum dihasilkan lagi. Vaksin yang ada di pasaran pada masa ini adalah vaksin untuk seasonal flu," tambahnya.
Previous
Next Post »