H1N1 kini cecah 5,876 kes



Ogos 21, 09 4:14pm

Tiada kematian baru akibat jangkitan influenza A (H1N1) dilaporkan setakat ini hari ini, yang menyaksikan 380 kes baru dicatatkan menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini sebanyak 5,876.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata 1,556 pesakit masih berada di wad di 98 hospital di seluruh negara, dengan sejumlah 220 disahkan positif virus A (H1N1).

Beliau menasihatkan orang ramai menggunakan bahan pencuci tangan bagi membersihkan tangan dan menutup mulut dan hidung dengan penutup semasa berada di kawasan sesak bagi mengelakkan penularan virus berkenaan.

"Meskipun terdapat hanya 0.1 hingga 0.4 peratus kematian, kita mesti menjaga kebersihan diri bagi mengelakkan sebarang jangkitan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen pencegahan A (H1N1) di klinik Bukit Indera Muda di Permatang Pasir di Bukit Mertajam.

Liow, yang juga naib presiden MCA, bagaimanapun menasihatkan pengundi di Permatang Pasir tidak bimbang apabila keluar mengundi pada pilihan raya kecil kerusi itu pada 25 Ogos.

"Kami telah mengambil langkah drastik bagi mencegah penularan virus itu dan orang ramai tidak perlu begitu khuatir," kata beliau.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendidik semua petugas pilihan raya mengambil tindakan berjaga-jaga semasa pengundian Selasa ini.

"Kami juga akan mengedarkan penutup mulut dan hidung serta bahan pencuci tangan di semua pusat pengundian," kata Liow.
Previous
Next Post »