Kementerian Kesihatan Mahu Kurangkan Kadar Mortaliti Kanak-Kanak Di Sabah



KOTA KINABALU, 9 Ogos (Bernama) - Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah - yang ditukar namanya hari ini daripada Hospital Likas - dijangka membantu Kementerian Kesihatan dalam usaha mengurangkan kadar mortaliti (kematian) kanak-kanak di Sabah kepada 6.5 bagi setiap 1,000 kelahiran.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata Sabah adalah antara negeri dengan kadar mortaliti kanak-kanak tertinggi, merekodkan 10.8 bagi setiap 1,000 kelahiran tahun lepas, lebih tinggi daripada kadar purata peringkat kebangsaan sebanyak 6 bagi setiap 1,000 kelahiran.

Kadar mortaliti ibu di negeri ini ialah kira-kira 28 bagi setiap 100,000 kelahiran, rendah sedikit daripada kadar purata peringkat kebangsaan sebanyak 30 bagi setiap 100,000 kelahiran, bagaimanapun jika mengambil kira pendatang tanpa izin, angkanya mungkin lebih 100 bagi setiap 100,000 kelahiran ekoran golongan itu biasanya tidak membuat pemeriksaan apabila mengalami kompilasi, katanya.

"Kami difahamkan terdapat kira-kira 40,000 kelahiran setiap tahun di Sabah dan kerajaan berusaha menyediakan perkhidmatan sebaik mungkin kepada wanita dan kanak-kanak di negeri ini.

"Dengan adanya hospital yang khusus seperti ini, kadar mortaliti di kalangan kumpulan ini akan dapat dikurangkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penukaran nama hospital itu di sini.

Beliau berkata daripada segi memperbaiki tahap kesihatan ibu dan anak di negara ini, terdapat banyak perubahan dan pembangunan dengan memberikan contoh pada tahun 70-an, kadar mortaliti ibu adalah amat tinggi pada kadar kira-kira 300 bagi setiap 100,000 kelahiran.

Mengenai sama ada kementerian bercadang membuka lebih banyak pusat pakar seperti hospital itu di negara ini, katanya ini akan bergantung kepada keperluan di setiap negeri dan Sabah diberikan keutamaan berikutan mempunyai bilangan pesakit dan kadar mortaliti tinggi.

-- BERNAMA
Previous
Next Post »