Tiada Kematian Baru H1N1 Didaftar Rabu



02 September, 2009 18:38 PM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Tiada kematian baru yang disahkan akibat jangkitan influenza A (H1N1) didaftarkan pada Rabu menjadikan jumlah kematian akibat penyakit itu setakat ini kekal 72 orang.

Jawatankuasa Semakan Kematian Influenza A (H1N1) setakat hari ini juga belum mengesahkan punca bagi tiga lagi kematian pada 30 Ogos di Negeri Sembilan yang melibatkan mereka yang berumur antara 24 dan 42 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata sejumlah 87 pesakit baru dengan gejala penyakit serupa influenza (ILI) dimasukkan ke hospital hari ini, manakala 160 kes telah didiscaj.

"Ini menjadikan baki seramai 1,238 pesakit ILI sedang dirawat di 106 hospital termasuk 12 hospital swasta di seluruh negara. Daripada jumlah itu seramai 264 pesakit (21.3 peratus) telah disahkan positif H1N1," katanya dalam kenyataan di sini Rabu.

Dr Mohd Ismail berkata daripada 264 kes yang disahkan H1N1, 39 kes berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan dua kes merupakan kemasukan baru, manakala sembilan lagi kes telah keluar dari ICU.

Beliau berkata daripada 39 kes yang sedang dirawat di ICU, 29 (74 peratus) mempunyai faktor risiko, iaitu penyakit kronik (11), obesiti (lapan), kanak-kanak/bayi (empat) dan masing-masing dua kes post-natal/hamil, penyakit jantung dan asma.

-- BERNAMA
Previous
Next Post »