Amalan Pemakanan Sayur-sayuran Rahsia Seseorang Berumur Panjang



PULAU PINANG, 25 Okt (Bernama) -- Rahsia untuk berumur panjang adalah sentiasa mengamal makanan berasaskan sayuran-sayuran, kata S.Geeta Devi yang mendakwa ibunya yang berusia 112 tahun merupakan orang yang tertua di negara ini.

Beliau berkata ibunya I.Kalawanti atau nama sebenar Parvathy berasal dari Kampung Punjab, India telah berkahwin dengan seorang peniaga sebelum datang ke Pulau Pinang, awal 1920-an selepas Perang Dunia Pertama.

"Ibu hanya makan sayur-sayuran sahaja untuk sepanjang umurnya dan akan sentiasa bergerak aktif dan itu merupakan rahsia ibu panjang umur," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Geeta, 54, yang bekerja sebagai peguam, berkata ibu mempunyai lapan anak, 13 cucu dan dua cicit masih mampu mengenali kesemua ahli keluarganya.

"Ibu suka bermain dengan tocangnya yang dihiasai bunga melur dan masih ceria walaupun berkerusi roda sejak 10 tahun yang lalu," katanya.

Difahamkan, ahli keluarganya telah melaporkan keistimewaan Kalawanti kepada Malaysia Book of Record tetapi pihak Malaysia Book Of Record tidak dapat mengesahkan usianya berikutan tiada sebarang bukti kukuh termasuk dokumen kelahiran beliau.

Katanya jika berpandukan pada Mykad ibu dan adiknya, S.Shanti Devi tahun kelahiran yang tertera adalah sama iaitu 1918.

Beliau berkata tahun yang tertera tidak betul kerana itu tarikh kelahiran adik ibunya Shanti Devi tetapi ia didaftarkan tarikh yang sama kerana ketika itu, ketiadaan sistem pendaftaran yang teratur.

"Apa yang menguatkan dakwaan kami bahawa ibu (Kalawanti) berusia 112 kerana perbezaan usia ibu dan adiknya (Shanti) adalah 19 tahun.

"Shanti kini berumur 71 tahun adalah anak bongsu yang telah melahirkan anak pertama ketika berusia 16 tahun manakala ibu pula adalah anak sulung daripada lima adik beradik," katanya.

Keluarga ini akan mengadakan sembahyang kesyukuran di rumahnya di Jalan Kim Bian Aik, Taman Lalulintas pada 7.30 malam Ahad.

-- BERNAMA
Previous
Next Post »