Memartabatkan bahasa

Oleh Rosniza Mohd Taha




Pembelajaran Sains, Matematik dalam bahasa Melayu wajar diperluas ke IPT

DASAR pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu juga perlu dilaksanakan di peringkat pengajian tinggi bukan sekadar sekolah.

Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Teo Kok Seong, berkata sejajar dengan usaha memartabat bahasa rasmi negara itu, sewajarnya ia diangkat sebagai bahasa ilmu hingga peringkat tertinggi.

Beliau yakin istilah dalam bahasa Melayu kini semakin banyak dibangunkan Dewan Bahasa dan Pustaka merangkumi pelbagai bidang termasuk sains, matematik, kejuruteraan dan teknologi, berkata:

“Oleh itu, tiada masalah bagi memperluaskan pelaksanaan dasar itu ke peringkat prauniversiti dan pengajian tinggi.

“Malah, status bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu ditutur lebih 300 juta orang di seluruh dunia dan dipelajari sebagai bahasa asing di lebih 100 institusi pengajian tinggi (IPT) lebih 30 negara membuktikan kehebatan penguasaannya secara global.

“Justeru, keputusan melaksana pengajaran dua subjek itu dalam bahasa Melayu hingga peringkat menengah bukan saja dilihat sebagai usaha separuh jalan, malah semacam tidak yakin dengan kesempurnaannya sebagai bahasa ilmu.”

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Wacana Bahasa Kebangsaan: Isu-isu Bahasa Kebangsaan anjuran Atma di Bangi, baru-baru ini.

Teo berkata, perubahan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu di sekolah kebangsaan mulai 2012 belum dianggap penyelesaian mutlak kerana ia tidak membabitkan Tingkatan Enam dan matrikulasi

Katanya, penggunaan bahasa Melayu di peringkat pengajian tinggi juga tidak akan menghalang pelajar memanfaatkan bahan rujukan dan jurnal yang banyak diterbitkan dalam bahasa Inggeris.

“Tidak dinafikan kepentingan pelajar menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa sumber ilmu serta memudahkan mereka merujuk jurnal dan bahan berkaitan dari negara luar.

“Namun dalam kuliah, bahasa Melayu wajar digunakan bagi mengungkapkan pengetahuan daripada pelbagai sumber ilmu luar itu.

“Penggunaan bahasa Melayu juga tidak menyekat usaha pengantarabangsaan sektor pengajian tinggi kerana kelas berasingan bagi pelajar luar negara boleh dijalankan untuk tujuan itu,” katanya.

Selain beliau, panel lain wacana dipengerusikan Pengarah Atma, Prof Dr Abd Latif Samian itu ialah Pengarah Institut Islam Hadhari, Prof Dr Mohd Yusof Othman dan Felo Penyelidik Utama Atma, Prof Dr Noriah Mohamed.

Previous
Next Post »