Tempoh sesuai hamil


Jawapan disediakan oleh Dr Suhaimi Isa Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Pantai Ampang
bminggu@bharian.com.my





Wanita keguguran perlu tunggu 10 bulan untuk mengandung semula

Soalan:
SAYA berusia 22 tahun dan sudah berkahwin sejak tiga tahun lalu. Untuk pengetahuan doktor, pada Jun lalu saya menjalani pembedahan Caesarean. Namun bayi saya meninggal dunia akibat kelahiran pramatang (27 minggu). Saya sekarang sudah habis pantang dan ingin sangat untuk hamil semula. Persoalannya:

1. Bilakah waktu yang paling sesuai untuk saya hamil semula dan berapa lamakah masa untuk saya merancang kehamilan sebelum dapat mengandung semula?

2. Jika saya ingin hamil secepat mungkin dan jika ditakdirkan hamil semula pada masa terdekat ini (dua atau tiga bulan selepas habis pantang), apakah risiko yang bakal dihadapi dan bolehkah saya meneruskan kehamilan itu?

Saya akui sememangnya terdesak untuk menimang cahaya mata selepas gagal kali pertama. Walaupun suami saya sentiasa memberi semangat, emosi saya sekarang masih tidak stabil sebab terlalu memikirkan hal anak.

Puan Aliss, Alor Setar, Kedah.

Jawapan:
Salam takziah daripada saya bagi Puan Aliss dan suami. Saya amat bersimpati dengan apa yang puan lalui. Puan sangat bernasib baik mendapat suami yang prihatin dan sentiasa memberi semangat kepada puan.

Ada beberapa perkara yang saya hendak sentuh di sini sebelum saya menjawab soalan puan kerana ia secara tidak langsung dapat menjawab sebahagian persoalan puan. Sememangnya setiap kandungan itu diinginkan terutama kandungan pertama selepas tiga tahun berkahwin. Ia pengikat ikatan perkahwinan puan. Namun, kadangkala kita tidak boleh menolak takdir yang ditetapkan oleh Ilahi.

Oleh itu pertama kali puan mesti reda dengan apa yang berlaku dengan kehendak-Nya dan kita memang tidak ketahui kebaikan di sebaliknya. Apa yang saya maksudkan di sini, puan mesti bersiap sedia dari segi emosi sebelum puan boleh mengandung. Biarkan emosi dan ketidaktentuan fikiran ini berlalu dan stabil kembali.

Saya selalu menasihatkan pesakit, pastikan mental kita sudah bersedia dan kita reda dan tidak perlu mengungkit apa yang sudah berlaku. Pastikan soalan kenapa anak sulung puan meninggal sudah terjawab dan puan berpuas hati dengan jawapan yang diberi.

Persediaan dari segi emosi dan mental kadangkala mengambil masa lama dan sudah semestinya ini memerlukan sokongan suami, keluarga dan doa kepada Allah SWT.

Sekiranya masih belum dapat menerimanya tangguhkan dulu kerana keburukan untuk mengandung dengan cepat tanpa persediaan emosi yang betul boleh menyebabkan masalah psikologi seperti kemurungan.

Puan tidak perlu tergesa-gesa kerana umur puan masih muda walaupun tempoh perkahwinan sudah mencecah tiga tahun. Puan mempunyai hampir dua dekad masa untuk mengandung lagi.

Dari segi perubatan, saya tidak menasihatkan untuk terus mengandung dalam waktu yang terdekat ini. Walaupun luka pembedahan sudah pulih, tetapi mengandung dalam waktu terdekat sebenarnya mempunyai risiko tinggi sedikit, iaitu kemungkinan rahim pecah ketika melahirkan dibandingkan selepas setahun atau dua tahun selepas pembedahan itu.

Bukan itu saja, masalah anemia iaitu haemoglobin rendah juga tinggi kerana kekurangan zat besi yang sudah digunakan ketika kandungan pertama. Anemia boleh menyebabkan kita pucat, letih dan kurang bermaya ketika hamil.

Sekiranya hamil dalam masa yang singkat selepas Caesarean, teruskanlah kandungan itu walaupun ada risikonya.

Perlu diingatkan kalau diberi pilihan, tangguhkan dulu keinginan mengandung ini selama lapan hingga 10 bulan, untuk memberi masa kepada rahim betul-betul pulih. Gunakan waktu ini untuk memulihkan fizikal dan mental puan terlebih dulu.

Dari segi kaedahnya, saya rasa yang terbaik gunakan kondom kerana ia tidak melambatkan puan untuk mengandung kemudian. Pastikan puan segera berjumpa doktor pakar perbidanan dan sakit puan dengan segera jika puan dapati puan hamil untuk nasihat.

Selain memastikan puan dan kandungan puan sihat, doktor akan cuba mencari punca kenapa anak puan lahir pramatang dulu. Adakah ia berpunca daripada air ketuban pecah terlebih dulu? Sekiranya ia benar beberapa ujian pengambilan cecair dari faraj dilakukan untuk menentukan kuman yang menyebabkannya.

Sekiranya pintu rahim atau serviks terbuka dengan sendiri tanpa kontraksi, maka pemantauan pintu rahim perlu dilakukan dengan kaedah ultrasound atau pemeriksaan klinikal yang berkaitan.

Jawapan disediakan oleh Dr Suhaimi Isa Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Pantai Ampang

Bagi anda yang memiliki kemusykilan mengenai kesihatan, sila hantarkan soalan kepada “Doktor di Berita Minggu” melalui e-mel, bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur. Semua persoalan dijawab oleh Dr Suhaimi Isa, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Pantai Ampang dan Dr Idora Mohamad, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Pantai Bangsar.
Previous
Next Post »

1 comments:

Click here for comments
zura
admin
January 17, 2012 at 3:53 PM ×

salam doc...
saya ingin bertanya kan pada doktor.. saya bersalin melalui pembedahan dan anak saya baru 2 bulan meninggal dunia akibat lemas dalam perut..dan saya dah miss period seminggu.dan saya risau doctor , saya takut hamil . doktor, ape yang patut saya buat ? boleh kah saya mengandung dalam lagi dalam mase terdekat ini ?

Congrats bro zura you got PERTAMAX...! hehehehe...
Reply
avatar