Kapal perang bersejarah

Kapal perang bersejarah

Oleh Noor Hazwan Hariz Mohd


KAPAL USS Blue Ridge yang berlabuh di Perlabuhan Klang baru-baru ini.

USS Blue Ridge mampu kesan pergerakan musuh di darat, udara dan laut

PELABUHAN KLANG: Sebut saja mengenai kecanggihan teknologi dan peralatan peperangan masa kini, pantas minda terbayang negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS), China, Perancis dan Russia.

Dalam situasi peperangan, selain strategi dan kekuatan senjata, komunikasi dan penyampaian maklumat kepada armada dan bala tentera juga penting bagi memastikan keberkesanan sesuatu operasi.


Berbekalkan dua enjin berkuasa diesel, USS Blue Ridge adalah satu kapal pemerintah terpenting dan memainkan peranan besar dalam formasi armada Tentera Laut AS, terutama membabitkan operasi di Asia.

Kapal berukuran 194 meter panjang dan 32.9 meter lebar itu memulakan perkhidmatannya sebagai kapal perang sejak ditauliahkan di San Diego, Amerika Syarikat pada 14 November 1970 dan perkhidmatannya dijadualkan tamat pada 2012.

Bagaimanapun, berikutan penambahan pelbagai peralatan dan sistem yang canggih, perkhidmatan USS Blue Ridge dilanjutkan sehingga 2020.

EKLUND (kanan) menunjukkan tempat simpanan sauh kapal USS Blue Ridge.

Sesuatu yang istimewa dan amat berharga mengenai lawatan kapal ini ke Malaysia adalah kerana ia sebuah kapal yang dikelaskan sebagai kapal `command & control', yang mana ia berfungsi sebagai kapal pemerintah bagi keseluruhan armada ketujuh Tentera Laut AS yang ditempatkan di Asia.

Kapal itu berjaya membuktikan kewibawaannya berdasarkan sejarah perkhidmatan ketika perang Vietnam, operasi Desert Shield dan Desert Storm di Iraq.

Pegawai Perhubungan Awam USS Blue Ridge, Leftenan Muda Shawn Eklund, berkata armada ketujuh adalah satu-satunya angkatan dalam pasukan Tentera Laut AS yang diperintah secara terus oleh seorang pemerintah dari sebuah kapal, berbeza dengan pemerintah armada lain yang berpusat di pangkalan.

Mengenai fungsi utama kapal perang itu, beliau berkata, USS Blue Ridge diklasifikasikan sebagai kapal pemerintah sesuai dengan kelengkapan dan teknologi perhubungan serta pengesanan canggih bagi mengkoordinasi pergerakan dan formasi keseluruhan armada ketujuh dalam sesuatu operasi, latihan dan peperangan.

"Ia mampu menjalankan operasi mengesan pergerakan musuh di darat, udara dan laut dengan berkesan serta menyalurkan maklumat mencukupi bagi tindakan selanjutnya." katanya ketika ditemui di atas kapal itu yang berlabuh di Terminal Star Cruise, Pelabuhan Klang, baru-baru ini.

Operasi kapal yang diketuai Pegawai Pemerintah, Kapten Thom Burke itu menghabiskan lebih tiga suku daripada usianya berkhidmat di perairan seluruh dunia.

Malah, kapal yang berpangkalan di Yokosuka, Jepun itu sudah 30 tahun tidak belayar di perairan negara asalnya.

Ia dikatakan kapal pemerintah terbaik pernah dibangunkan, menjalankan tugas bagi mengumpul maklumat yang diterima hasil risikan di seluruh dunia untuk dikumpulkan dalam satu sistem komputer pusat.

Walaupun fungsi utamanya sebagai kapal komunikasi, aspek keselamatan dan persenjataan tidak diabaikan.

Kapal ini dilengkapi empat laras senjata automatik .50 kaliber, dua senjata automatik 50 mm dan membawa dua helikopter Seahawk SH60 sebagai penjejak dan pemusnah kapal selam.

Eklund berkata, sepasukan kru pertahanan kapal ditugaskan sepanjang masa bagi menangkis ancaman kapal kecil terhadap kapal itu.

Biarpun sudah berusia, ia masih mampu untuk belayar gagah meredah samudera dengan membawa kekuatan anggota sehingga lebih 1,200 orang, termasuk 268 pegawai dan 1,173 lain-lain anggota.

Seperti kapal perang lain dalam armada Tentera Laut ASS, USS Blue Ridge juga mempunyai kekuatan anggota yang terdiri daripada berbilang latar belakang, etnik dan kewarganegaraan.

Sesuai dengan status sebagai kapal pemerintah dan tempoh pelayaran yang mengambil masa lama, pentadbiran di atas kapal itu turut mementingkan keselesaan dan gaya hidup sihat.

Ini termasuk penyediaan ruang makan yang selesa, makanan berkhasiat, gimnasium, pusat dobi, kedai gunting rambut, kemudahan karaoke serta pusat penghantaran dan penerimaan mel, sekali gus membantu mengubat rindu anak kapalnya pada tanah air.

INFO: USS Blue Ridge

  • Berusia 39 tahun.
  • Dinamakan sempena pergunungan Blue Ridge di timur Amerika Syarikat.
  • Fungsi utama sebagai Kapal Pemerintah bagi Armada Ketujuh Tentera Laut AS.
  • Fungsi kedua sebagai Kapal Pemerintah bagi Operasi Pasukan Khas Amfibia dan Komander Pasukan Pendaratan.
  • Kelajuan maksimum 23 knot dengan dua enjin diesel.
  • Dilengkapi lebih 600 komputer berkuasa tinggi bagi pengumpulan maklumat dari seluruh dunia.
  • Peralatan perhubungan dan pengesan pergerakan tercanggih serta terkini.
  • Mampu membawa sehingga lebih 1,200 anak kapal pada satu-satu masa.
  • Membawa dua helikopter SeaHawk SH60 sebagai pesawat pertahanan kapal.
Previous
Next Post »