H1N1: Pantau jika berlaku peningkatan semula





PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan sentiasa memantau penularan wabak Influenza A(H1N1) di negara ini untuk mengesan sama ada terdapat peningkatan semula kes itu yang kini semakin berkurangan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pihaknya akan membuat laporan mengenai wabak itu dari masa ke semasa dan memastikan langkah mengawal H1N1 yang dijalankan adalah berkesan.

"Kes H1N1 telah menurun berbanding Ogos dan September. Tetapi itu tidak bermakna kita boleh ambil ringan mengenainya kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan di Malaysia pandemik ini masih berada di tahap enam," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri kementerian itu di sini hari ini.

Liow berkata, WHO belum mengisytiharkan Malaysia sudah bebas daripada pandemik itu.

Beliau berkata, sehingga kini angka kematian akibat H1N1 masih kekal 77 dan bilangan pesakit yang ditempatkan di wad Unit Rawatan Rapi juga semakin berkurangan.

Beliau juga meminta orang ramai meneruskan langkah mencegah penularan wabak itu supaya gelombang kedua H1N1 tidak berlaku.

Sementara itu, Liow berkata dos awal vaksin Influenza A(H1N1) yang akan tiba hujung bulan ini dari Britain, akan diberikan kepada 200,000 petugas barisan hadapan dan kumpulan berisiko tiggi.

"Vaksin akan diagihkan di seluruh negara dan digunakan secara efektif. Ketika ini ia perlu diberikan kepada petugas barisan hadapan terlebih dahulu kerana mereka yang paling mudah dijangkiti," katanya. - Bernama
Previous
Next Post »